Khazanah ke Pulau Pinang
GEORGETOWN: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan membuka cawangan barunya di Pulau Pinang awal tahun depan bagi memacu kemajuan orang Melayu di negeri berkenaan dan Koridor Wilayah Utara.
GEORGETOWN: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan membuka cawangan barunya di Pulau Pinang awal tahun depan bagi memacu kemajuan orang Melayu di negeri berkenaan dan Koridor Wilayah Utara.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata penubuhan cawangan itu yang dijangka dalam tempoh dua bulan, diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, penubuhan cawangan itu akan memberi semangat dan perhatian kepada penduduk Pulau Pinang khususnya orang Melayu untuk turut maju setanding dengan kaum lain.
“Fokus (Khazanah) kepada tanaman modal secara langsung atau kerjasama dengan pihak lain. Kita harus memastikan penduduk Pulau Pinang maju dan makmur, dan yang penting tidak ada kaum di negeri ini yang tertinggal,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Pintar di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Azman Mokhtar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Zulkurnian Awang.
Sementara itu, Azman berkata, pembukaan cawangan berkenaan selepas Johor Bahru yang terbabit dalam membangunkan Wilayah Pembangunan Iskandar, akan menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan Koridor Wilayah Utara sekali gus menjadi penggerak pelaburan strategik dan holistik.
“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Perdana Menteri dalam mesyuarat Lembaga Pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Khamis lalu.
“Menjadi tanggungjawab sosial GLC milik Khazanah untuk membantu usaha ini,” katanya yang menegaskan syarikat itu tidak mengambil alih fungsi agensi kerajaan sedia ada.
Mengenai Pintar yang dijangka bermula Januari depan, Nor Mohamed berkata, projek perintis membabitkan 42 sekolah rendah dan menengah terpilih di negeri ini, bertujuan membantu pelajar kurang berkemampuan untuk memperoleh pendidikan terbaik.
Beliau berkata, seramai 16,000 pelajar miskin akan menjadi anak angkat kepada 17 GLC terpilih membabitkan program tuisyen, pengangkutan dan makanan secara percuma.
"Pulau Pinang menjadi perintis sebelum diperluaskan ke negeri lain kerana banyak isu yang dibangkitkan mengenai kedudukan Melayu yang dianggap masih terpinggir.
"Antara sebab kepinggiran itu adalah pendidikan dan menerusi program bersepadu ini dapat melahirkan golongan profesional di kalangan keluarga tidak mampu," katanya yang enggan mengulas kos mengendalikan program berkenaan.
Oleh Faiza Zainudin
No comments:
Post a Comment